Daripada: Ustazah Siti Nor Bahyah Mohamood
Kasih sayang, cinta dan rindu adalah emosi manusia yang sukar untuk diubahkan. Sama juga dengan marah, benci dan dendam. Seolah-olah macam tidak boleh dikawal. Namun, kita semua tahu bahawa mengawal perasaan dan tidak bertindak mengikut perasaan adalah wajib untuk menjadi manusia yang waras dan adil serta lurus di jalan Allah s.w.t.
Dalam kita berusaha menahan diri daripada melakukan perkara tidak sepatutnya, perlu kita memastikan pergaulan dengan suami itu tidak malampaui batasan dalam Islam (sentiasa dalam redha-Nya). Ini kerana, status seorang isteri terhadap suaminya masih seperti sedia kala walaupun hati terluka dengan kecurangan suami.
Apabila ada masalah, cara yang terbaik ialah bawa berunding dan bawa berbincang. Disini, ustazah berikan panduan-panduan supaya pertemuan dengan kekasih suami yang bakal diadakan mencapai matlamat dan dapat menemui jalan penyelesaian. Antara panduan-panduan tersebut:
1. Sebelum bertemu sebaik-baiknya lakukan solat hajat dua rakaat supaya Allah s.w.t. memberikan kekuatan kepada kita.
2. Bacalah surah al-Insyirah dan doa-doa penerang hati supaya niat dan pertuturan mudah difahami dan memberi kesan kepada hati orang yang mendengar.
3. Bawalah orang lain sebagai teman supaya dapat mengawal keadaan sekiranya keadaan tidak terkawal. Maklumlah, ada kalanya masalah yang kecil akan menjadi besar sebab masing-masing ingin mempertahankan tindakan masing-masing dan kedua-dua belah pihak saling tuduh menuduh atas apa yang berlaku. Akibatnya emosi dan perasaan tidak dapat dikawal sehingga menyebabkan berlakunya ugut-mengugut dan boleh membawa kepada pergaduhan dan permusuhan bukan penyelesaian yang diharapkan.
4. Sepanjang perbincangan masing-masing boleh cuba bertenang, bersikap terbuka dan bertimbang rasa. Elakkan daipada terlalu emosional, kawal tingkah laku dan perbuatan sendiri supaya tidak menyebabkan pihak lain marah dan hilang sabar.
5. Utamakan nama baik, maruah dan nilai-nilai yang terbaik sepanjang perbincangan berlaku.
6. Kedua-dua belah pihak perlu sanggup berkorban demi mencari penyelesaian. Apabila satu pihak berkorban pihak yang satu lagi mesti mengambil sikap menghargai pengorbanan tersebut.
7. Jangan bawa orang yang kita tahu ia kaki gaduh, nanti mereka akan mengapi-apikan supaya kita bergaduh.
8. Jangan tergopoh-gapah, banyakkan bertenang terutama semasa sedang mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua belah pihak.
Setelah segala usaha dan ikhtiar yang kita telah lakukan, maka hendaklah kita iringi dengan doa kepada Allah s.w.t agar segala konflik serta masalah rumah tangga kita akan berakhir dengan izin-Nya. Anggaplah ini satu dugaan daripada Allah s.w.t., di mana kesan daripada kejadian tersebut dapat member hikmah yang berguna kepada mereka yang terlibat.
Dipetik dari: Majalah Keluarga Harmoni, 15-29 Februari 2008.

No comments:
Post a Comment